Jangan Lupa Lirik – Series (2008)
KUALA LUMPUR, 23 MEI 2008: Program terbaru Astro Ria, Jangan Lupa Lirik yang akan disiarkan bermula Ahad ini, 25 Mei, diyakini bakal menambat hati penonton, bukan sahaja kerana hos popularnya, Aznil Haji Nawawi, tetapi juga hadiah paling lumayan yang ditawarkan.
Walaupun gameshow tersebut diadaptasikan daripada program Don’t Forget The Lyrics yang dicipta di Amerika Syarikat, Astro sudah tentu lebih bijak mengadaptasikan bentuk program itu bagi memenuhi citrasa tempatan. Lihat saja Akademi Fantasia yang diadaptasikan daripada program import, La Academia.
Dalam program ini, peserta berpeluang memenanngi hadiah RM1 juta tetapi dengan syarat, mesti menyanyikan lagu dengan lirik yang tepat. Jangan Lupa Lirik akan disiarkan di Astro Ria pada setiap Sabtu dan Ahad, jam 9 malam
Aznil ketika ditemui murai.com.my berkata, Jangan Lupa Lirik adalah program yang menyeronokkan kerana ia tidak mempunyai pengkritik dan peserta boleh menyanyi sesuka hati.
“Kadang-kadang program ini perlu lucu dan serius. Saya bertanggungjawab untuk berusaha membawa kedua-dua elemen ini supaya Jangan Lupa Lirik akan menjadi sebuah gameshow yang mampu menambat hati penonton.
“Bukan saja peserta berpeluang untuk membawa pulang wang sebanyak mungkin, tetapi berpeluang menjadi seorang bintang,” kata Aznil sebelum rakaman episod pertama di Bandar Sri Damansara, semalam.<Murai>








